Saturday, February 23, 2008

PERKAHWINAN DENGAN KHADIJAH

Apabila baginda pulang ke Mekah, Khadijah mendapati keuntungan hartanya hasil daripada sikap amanah dan keberkatan yang tidak pernah dirasainya sebelum itu. Hambanya, Maysrah memberitahu apa yang dilihat tentang Rasulullah s.a.w, iaitu peribadi yang menarik, akhlak yang mulia, fikiran yang tajam, tutur kata yang benar serta perilaku yang amanah. Khadijah merasakan bahawa apa yang dicarinya selama ini sudah ditemui-sebelum itu orang-orang kenamaan dan para pemimpin telah berusaha melamarnya tetapi telah ditolak olehnya. Lalu hasratnya itu disampaikan kepada seorang temannya iaitu Nafisah binti Muniyyah. Nafisah pun pergi kepada Rasulullah s.a.w dan memberitahu hasrat Khadijah hendak mempersuamikannya. Rasulullah s.a.w bersetuju dengan cadangan itu serta memberitahu bapa-bapa saudaranya.

Kemudian bapa-bapa saudaranya pergi kepada bapa saudara Khadijah untuk melamarnya. Ekoran daripada itu berlangsunglah perkahwinan mereka. Majlis perkahwinan itu dihadiri oleh Bani Hashim, pemimpin-pemimpin Bani Mudar. Perkahwinan itu berlangsung selepas dua bulan baginda kembali dari Syam. Baginda telah menghantar dua puluh ekor unta muda sebagai mas kahwin. Ketika itu umur Khadijah empat puluh tahun dan dia adalah wanita paling terhormat dikalangan kaumnya dari segi keturunan, kekayaan dan kepintaran. Dialah wanita yang pertama dikahwini oleh Rasulullah s.a.w dan Rasulullah s.a.w tidak berkahwin dengan wanita lain sehinggalah Khadijah meninggal dunia.

Semua anak Rasulullah s.a.w dilahirkan oleh Khadijah, kecuali Ibrahim. Anak sulung Rasulullah s.a.w yang dilahirkan oleh Khadijah ialah al-Qasim, dan dengan nama inilah baginda digelar Abu al- Qasim, kemudian Zaynab, Ruqayyah, Ummu Kalthum, Fatimah dan Abdullah. Abdullah diberikan gelaran al-Tayyib dan al- Tahir. Semua anak lelaki baginda mati semasa kecil. Anak-anak perempuannya semuanya sempat memeluk Islam dan berhijrah, akan tetapi mereka semuanya meninggal dunia semasa Rasulullah s.a.w masih hidup kecuali Fatimah r.a yang meninggal dunia enam bulan selepas kewafatan baginda s.a.w.